Jew Kit BM

Selama berniaga nasi ayam di Bukit Batok sejak 1992, Encik Teo Jew Kit perhatikan orang Islam gemar hidangan itu.

Namun, mereka tidak melanggani gerai Jew Kit Hainanese Chicken Rice miliknya kerana ia tidak mempunyai sijil halal. Akhirnya, yakin dengan potensi pasaran halal, Encik Teo, pemilik rangkaian gerai nasi ayam, membuka gerai nasi ayam halal pertamanya di Bukit Batok Central pada 2007.

Perniagaan beliau sangat baik hingga beliau membuka sebuah lagi gerai sekitar dua tahun lalu dan kemudian menubuhkan sebuah dapur pusat bersijil halal pada 2010.

Kini, dapur pusat itu membekalkan produk halal, seperti sos, pes makanan dan sambal nasi ayam, bukan kepada gerai halalnya sahaja, bahkan lima cawangannya yang tiada sijil halal, termasuk dua restoran nasi ayam dan makanan laut.

Malah, sejak mempunyai cabang perniagaan halal, penjualan keseluruhan syarikatnya meningkat 25 peratus.

“Kami suka pelanggan Melayu. Mereka tidak cerewet, sabar dan mudah berurusan. Tetapi yang lebih penting ialah kami mahu menjual satu produk yang boleh dinikmati semua warga Singapura tidak kira apa agama pun. Kami lihat betapa besarnya potensi pasaran halal ini dan dengan menjadi halal, kami dapat merebut pasaran pelanggan lebih luas,” ujar Encik Teo, 46 tahun.

Bapa dua anak itu yang mengasaskan perniagaan nasi ayam bersama isterinya, Cik Florence Toh, mendapatkan panduan dan bimbingan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi menubuhkan gerai halal.

Encik Teo berkata beliau tidak menghadapi banyak cabaran bagi menawarkan produk halal.

“Kami mengambil masa sebulan bagi memenuhi semua tuntutan halal dan tidak ada masalah langsung daripada segi resipi nasi ayam. Dalam membuka gerai halal, kami mengenal pasti lokasi yang mempunyai ramai penduduk Islam,” ujar beliau.

Sebanyak 80 peratus pelanggan di dua gerai halal itu ialah Muslim.

Apabila ditanya mengapa mereka membuka sebuah dapur pusat halal, Encik Teo menjawab:

“Sebab kami berfikiran jauh dan memikirkan tentang masa depan. Kami mahu terus maju dalam pasaran halal dan langkah ini akan memudahkan kami terus berkembang dalam pasaran halal. Rancangan seterus kami ialah membuka sebuah restoran nasi ayam dan makanan laut halal dalam masa dua
tahun mendatang.”

Pasangan itu juga memandangkan berat aspek latihan pekerja. Kini, 18 pekerja mereka sedang menjalani kursus Skim Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dengan Kaplan Singapore.

“Pekerja kami sekarang dapat bekerja sebagai satu pasukan dan berkomunikasi lebih baik. Konflik antara pekerja juga berkurangan, sekali gus membolehkan
perniagaan lebih lancar,” ujar Cik Toh.

By ATIYYAH MOHD SAID
Source: Berita Harian, 30 October 2014 © Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission. Click to view PDF.